Sweet 25 like Asyraf Farique

himmah-2012

Tajuk ini mungkin agak geli geleman. Tapi saya pernah menulis berkenaan tajuk yang akan saya tulis pada hari ini, 4 tahun lalu. “Sweet 21 like Sir Hassan Al Banna”

Semalam setelah hampir 4 tahun masa berlalu semenjak kali terakhir saya menyertai Himmah anjuran Persatuan Belia Islam Nasional di Klang, saya berpeluang untuk menghadirkan diri sekali lagi, walau sekejap cuma bagi mendengar kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Syed Ahmad Israa’.

Saya masih ingat lagi, 4 tahun lalu di tempat yang sama, Ust Suhaib Ar Rumy, menyampaikan tazkirah maghrib yang begitu membekas di hati saya sehingga kini.

Isi tazkirah memiliki persamaan iaitu perbicaraan sekitar Himmah. Di dunia ini pertembungan yang berlaku adalah pertembungan antara Himmah al haq dan himmah al bathil. Pertemuan kehendak yang kuat antara yang haq dan bathil. Siapa yang mempunyai himmah yang kuat, ialah yang akan jadi dominan.

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa; dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.” (Taha:115)

Di dalam Al Quran Allah swt menceritakan mengenai kisah Ar Rasul Nabi Adam a.s. Ramai mungkin mengatakan, sebab utama, yang menyebabkan Nabi Adam a.s menghampiri pohon itu kerana wanita. Tetapi itu tidak diceritakan di dalam Al Quran. Al Quran menceritakan bahawa Adam a.s tidak mempunyai keazaman untuk berdepan dengan godaan syaitan.

Premis itu berkembang lalu membentuk kisah-kisah pertembungan antara himmah yang berlaku dari zaman ke zaman.

Jika kita perhatikan bangsa yang menguasai dunia pada hari ini iaitu bangsa Yahudi, mereka ini tiada lain jika hendak dibandingkan kita. Mereka memiliki dua pasang mata yang sama dengan kita, mereka memiliki saiz otak yang sama dengan kita, jumlah tangan yang sama, jumlah kaki yang sama. Tetapi bagaimana mereka boleh menguasai dunia? Mereka boleh menguasai dunia kerena memiliki himmah yang tinggi.

Jika kita telusuri sejarah, semenjak kalah kepada perang khaibar, di mana Yahudi pada ketika itu mahu mewujudkan hegemoni mereka di Madinah, mereka kalah kepada himmah Rasulullah saw dan para sahabat. Lalu sehingga beratus-ratus tahun, Yahudi merempat dan menjadi buangan, sehingga mulai muncul di pentas dunia, mengambil posisi sekitar kurun ke 15 dan ke atas. Bagaimana mereka mulai mengatur strategi atas himmah yang tinggi untuk menguasai dunia. Menguasai sistem pendidikan, ekonomi, ketenteraan dan sebagainya.

Bagaimana untuk mengali himmah?

Himmah ini boleh dibahagikan kepada dua, himmah Aliyah (himmah yang tinggi) dan juga himmah daniyah (himmah yang rendah), kedua-dua perbezaan inilah yang membezakan darjat kedudukan manusia di muka bumi ini. Ada manusia yang menjadi pemimpin, ada manusia yang menjadi pengikut, ada manusia yang menjadi pencipta, ada manusia yang menjadi pengguna.

Dalam lipatan sejarah, kita boleh lihat bagaimana Abassiyah boleh dihancurkan oleh, Mongol bukan kerana ketiadaan kekuasaan, dan peluang. Abassiyah juga kaya dengan gedung ilmu. Mongol adalah sebaliknya, mereka ada yang buta huruf, apa yang membezakan adalah himmah yang kuat. Di saat himmah dan kemahuan ummat Islam untuk menguasai dunia semakin melemah.

Ibn Qayyim di dalam catatan-catatan beliau (lintasan-lintasan) fikiran beliau, ada menukilkan bagaimana seseorang itu boleh mengali himmah mereka?

  1. Mereka mestilah mempunyai kejelasan niat. Kisah yang kita boleh perhatikan adalah kisah Umar Bin Abd Aziz, bagaimana kata-katanya yang mahu menjadi khalifah dan kemudiannya mahu mengapai syurga.
  2. Kesucian niat, kita boleh perhatikan kisah Abdul Rahman Dakhili pembuka andalus, bagaimana dikisahkan pada suatu hari tentera Islam berjaya membuka satu kota. Terdapat di dalamnya hamba perempuan yang sangat cantik, sangat cantik sehingga merunsingkan para pembesar lalu diserahkan kepada Abdul Rahman. Apa abdul rahman berkata, Subhanallah, beliau mengakui kecantikan wanita tersebut, katanya kurang lebih maksud begini, jika aku mengambil beliau sebagai isteri, maka aku akan menyeksa jiwaku, dan aku akan disibukkan dengannya, sedangkan, aku diciptakan untuk membuka kota-kota Islam.
  3. Ketiga, adalah perhatikan dengan siapa kita bergaul seharian. Orang yang memiliki himmah yang tinggi dapat mempengaruhi orang lain di sekitarnya. Jika kita banyak bergaul dengan orang yang hidupnya hanya berbicara soal duit sahaja, untung rugi dunia, berbicara soal keperluan diri, maka kita akan jatuh ke jurang tersebut. Maka pilihlah dengan siapa kita selalu bergaul.

Begitulah, sedikit sebanyak catitan yang sempat saya rakamkan dalam benak fikiran dan hati nurani saya. Semoga ianya memberi manfaat buat kita semua ummat Islam, untuk kembali membangkitkan tamadun kita. Mencipta kejayaan yang gemilang buat ummat Islam di masa depan. Cukup sudahlah kita dihina dan diperkotak katikkan, masa untuk kita bangkit semula menjadi ummat yang gemilang dengan himmah yang tinggi.

Ringkaskanlah kehidupan duniamu

5uxms7a
Guru saya berpesan, supaya meringkaskan kehidupan dunia ini sekadarnya.
Beliau menyebut satu kisah di dalam Al Quran di dalam surah Al Qashash bilamana Musa a.s pergi ke Madyan dan bertemu dengan puteri Nabi Syuib, dan menolong mereka mengangkat air, Nabi Syuaib telah berkenan untuk menjadikan Nabi Musa a.s sebagai menantunya dengan syarat, beliau bekerja di sana selama 10 tahun.
Apa yang menariknya tentang ayat ini?
Allah swt menceritakan kehidupan berumah tangga beliau selama 10 tahun itu hanya 4 ayat sahaja.
فَلَمَّا قَضَى مُوسَى الأجَلَ
“Maka ketika Musa telah menyelesaikan waktu yang ditentukan itu”
10 tahun dalam hanya 4 ayat.
Dan Allah swt menceritakan detik-detik pertemuan antara Musa a.s dan Firaun yang mungkin hanya sejam dua, dalam 3-4 muka Al Quran. Dan menceritakan setiap perkara yang terjadi dengan cukup teliti dan detail.
Apa yang kita boleh pelajari di sini?
Ringkaskan kehidupan dunia ini sekadarnya. Bukan bermakna, kehidupan seperti berkahwin, berkeluarga itu tidak penting, ia adalah sunnah kehidupan yang mesti kita lalui. Tetapi jangan terlalu berlebih-lebih sangat.
Adapun, baju apa nak beli, rumah mana nak duduk, bla-bla-bla, kereta apa nak beli, dengan siapa nak kahwin? janganlah sehingga perkara itu memenuhi ruang fikirmu. Bahagikan ruang fikirmu untuk sesuatu yang boleh dijadikan batu asas kepada kemenangan Islam.
Apa yang lebih penting apakah pekerjaan yang kita lakukan untuk mencapai redha Allah, untuk menegakkan kembali Islam. Itulah sebenarnya prioriti tertinggi yang harus kita berikan dalam hidup ini.
Itulah pengajaran besar yang boleh kita ambil daripada ayat ini.
Wallahualam

Ikan Bilis Buat Saodah

ikanbilis

Aduh beratnya..

Ini batu bata ke dinnn..

Barang apa lah berat macam ni oiii…

Macam hendak bawa hantaran kepada Puteri Gunung Ledang pula..

Hrmm, keluhku sendirian.. Sudah nasib badan, hendak buat macam mana.

Dalam kesejukan Kota London yang mencengkam tubuh, aku mengusung sebuah beg berat yang berisi “Ikan Bilis”.

Ikan bilis? Ya ikan bilis. Berat, memang sungguh berat. Aku rasa kalau ditimbang-timbang berat ikan bilis itu mahu mencecah lima kilogram. Separuh berat dumbell yang selalu aku angkat di gym.  

Malam semakin pekat, kerpasan butir salji turun sedikit demi sedikit. Aku bagai kejakunan, mendongak ke langit, merasai sendiri, kerpasan butir salju itu menyentuh halus pipiku. Menyengat sejuknya hingga ke pembuluh darah…

Lil !!!!

Kahlill!!!

Cepat!!! kau buat apa tercegat dekat situ, tertinggal bas kita nanti.

Mentari senja mahu melabuhkan tirainya, perjalanan dari kota London ke Oxford, membuatkan perasaanku terbuai-buai melayang ke satu dimensi baru. Risau, takut, teruja, semua ada. Tidak tahu, apa yang bakal dihadapi sepanjang kembara ini. Hanya Allah tempat aku bergantung harap, kerana Dia lah sebaik-baik pelindung.

Buaian perasaan ini membuatkan aku termenung jauh memerhatikan gugusan salju yang terlekat pada tingkap bas yang aku naiki. Bagai kanak-kanak kecil yang kejakunan, aku merapatkan mata ke permukaan cermin untuk memerhati dengan dekat struktur salji yang terlekat di cermin pesawat. Partikel salji seumpama kristal yang cukup indah itu membuatkan perasaanku terbuai beberapa ketika.

Eropah, adalah satu bumi yang asing bagi aku. Kembara ke bumi Eropah pada kali ini merupakan pengalaman pertama aku menjejakkan kaki ke sana.  Meski impian sejak dari kecil dahulu memang terlalu ingin belajar dan menuntut ilmu di bumi Eropah, tetapi apakan daya, ketinggian cita-cita yang aku usahakan sejak dari kecil tidak dapat untuk menembusi tembok-tembok takdir yang telah disusun oleh Ilahi.

Alhamdulillah, hari ini Tuhan izinkan aku untuk menjejak buminya, memerhati indahnya alam, serta mempelajari dan mengutip hikmah-hikmah yang tersembunyi di sana.

Pergi ke Eropah kau lihat material?

Apabila bercerita tentang Eropah, apa yang membuatkan kita terbayang saat pertama kali berbicara tentang Eropah. Secara geografinya Eropah ialah sebuah benua yang berada antara Lautan Atlantik di barat, Laut Artik di utara, Pergunungan Ural dan Sungai Ural di timur, Laut Kaspia, Pergunungan Caucasus dan Laut Hitam di Tenggara, dan Laut Mediterranean di selatan.

Dari segi keluasan, Eropah ialah benua yang kedua terkecil di dunia, selepas Australia dan sebelum Antartika. Dari segi populasi pula, Eropah mempunyai penduduk ketiga teramai selepas benua Asia dan Afrika.

Sehingga ke hari ini, aku sudah pergi hampir 11 buah negara barat. Apa yang aku perhatikan pada negara barat ini mereka memang gah pada sudut material, tetapi kering kontang dan gersang tanpa roh-roh manusia.

Negara barat maju dari segi tamadun fizikal tetapi mundur dari segi tamadun rohani dan jiwa manusia. Material yang mereka bangunkan kering gersang dan kosong tanpa roh. Sistem politik sekular-liberalisme mengakar dari falsafah Christendom yang mengatur kehidupan bermasyarakat tamadun Barat adalah satu sistem yang gagal dalam menyemai roh kehidupan ke dalam jiwa-jiwa manusia. Manusia dituhankan dan tuhan dimanusiakan. Manusia hidup dalam keadaan tertekan atas sistem hidup yang mengatur mereka. Mereka inginkan kebebasan!

Kepala aku ligat berfikir pada malam itu. Mungkin sudah lama agaknya aku tidur di dalam “flight” aku tidak mampu lagi tidur di dalam Bas. Masa yang ada, aku habiskan pembacaan buku tulisan Dr Adian Husaini, Wajah Peradaban Barat.

Memandangkan keesokan harinya aku ada diskusi bersama pelajar-pelajar di sana dan juga menjadi tetamu kepada sebuah rancangan televisyen, Al Jazura, tentang hubungan antara tamadun, aku cuba untuk mengunakan kesempatan masa yang ada untuk menelaah sebaik mungkin, kerana aku tidak mahu kedatanganku ke sana, sekadar satu omong kosong. Seharusnya dapat membuka ufuk baru pelajar-pelajar di sana.

3 jam pantas berlalu, aku mengejutkan rakanku Din, dengan wajah yang separa mamai dan penat, kami melangkah keluar dari bas menuju ke perkarangan hostel pelajar lelaki di Oxford. Alangkah terkejutnya kami, apabila melihat suasana pada malam itu. Ramai manusia bergelimpangan dengan arak terhuyu hayang, bagai tiada tamadun?

Aku memandang wajah Din,

Dan Din kembali memandang wajahku.

Hairan mungkin.

Bagaimana sebuah kota yang boleh disytiharkan sebagai kota ilmu yang cahayanya menyinari segenap buana, manusia-manusia di dalamnya, apabila malam menjadi manusia tiada akal. Seolah-olah bumi ini sungguh gelap, tanpa suluhan cahaya dari Tuhan.

Beberapa orang pelajar yang kelihatannya mabuk-mabuk cuba menganggu kami, sambil melontarkan botol-botol arak ke arah kami.

Aku dan Din, tidak menghiraukan mereka, kami segera berjalan pantas menuju ke destinasi. Mujurlah temanku Din, sudah lama hidup di Amerika, dan beliau sangat masak dengan perangai ‘mat salleh ini’.

Kadang-kadang, aku pun hairan lah Lil, tang celah mana pulak depa ni boleh taksub dekat barat?

Hahaha.

Aku pun tidak tahu Din.

Sambil diriku teringat kenangan di Adelaide, Australia, ‘Friday night’ adalah sesuatu yang sangat-sangat ditunggu setiap minggu. Mereka mahu melepaskan segala keserabutan kehidupan dengan menjamah arak sehingga tertanggal asas kemanusiaan dalam ciri-ciri sebuah tamadun. Lalu,adakah nilai yang sama kita mahu terapkan di negara tercinta ini? Jangan pandang sebelah mata, akan sisi buruk sistem ini yang membentuk kehidupan bermasyarakat tamadun barat seluruhnya. Mereka membina ideologi dan falsafah kehidupan berteraskan humanisme.

Hrmmm..

Aku bermonolog sendirian sambil menahan kesejukan malam.

Alhamdulillah, setelah hampir 15 minit berjalan, kami akhirnya tiba, di hostel pelajar milik seorang pelajar Melayu kita di sana, Abang Razman namanya. Abang Razman menyambut kami berdua dengan dakapan yang erat.

Abang Razman adalah salah seorang pelajar Melayu di Oxford. Beliau sedang menyambung pengajian di peringkat PHD. Aku banyak mendengar cerita ketabahan beliau di sana, melalui kenalan-kenalan aku di Malaysia. Tidak ku sangka, akhirnya aku bertemu juga abang Razman.

Sebagai pimpinan pelajar Malaysia di sana, abang Razman berbesar hati untuk menerima kedatanganku dan Din ke bandar Oxford ini. Walaupun sebenarya aku boleh sahaja memilih untuk tinggal di hotel tajaan sebuah syarikat penyiaran yang agak terkenal , Al Jazura, tetapi aku memilih untuk tinggal bersama belajar Malaysia dan menyelami dengan lebih mendalam tentang bagaimana kehidupan mereka di Oxford.

Begitulah …

Al Jazura

Sebenarnya tujuan kedatanganku ke bandar Oxford ini pertamanya adalah untuk memenuhi jemputan pihak Al Jazura, untuk menjadi panelis, kepada salah sebuah rancangan televisyen yang sedang hangat dipertontonkan  yang dikelola oleh Mudi Hassan. Sebuah rancangan separa ilmiah yang akan membicarakan tentang hal-hal seputar isu semasa, dan isu-isu kontroversi yang berlaku dalam masyrakat dunia.

Aku mewakili pusat kajianku, akan membentangkan tentang kajian kes, masyrakat Melayu Muslim di Nusantara menghadapi pertembungan tamadun. Aku akan bergandingan dengan dengan Sudi Hamid, dari pusat kajian Brooking yang beribu pejabat di Amerika yang akan membentangkan kajian kes tentang masyarakat Muslim di Amerika.

Manakala Din, adalah teman sekerjaku. Teman baikku.

Khalis.

Ye, abang man.

Kau bawa apa itu?

Macam berat je aku tengok beg kau ni?

Hahahaha

Ikan Bilis.

Ha?

Ikan Bilis bang man.

Begini, maknya kepada Saodah pesan, suruh kirimkan ikan bilis ini kepada dia. Katanya sudah lama tidak makan masakan Melayu yang betul-betul asli. Khususnya kegemaran dialah tu, sambal tumis ikan belis.

Itulah, saya ambil kesempatan, alang-alang sudah ke sini, datang ke Oxford ini, hendaklah berjumpa dengan Saodah.

Abang Man, kenal Saodah?

Kenal lah..

Awat tak kenal..

Berapa kerat je pelajar Malaysia dengan sini lil.

Ohh kau pula lil, bagaimana kau kenal Saodah?

Saodah ini satu kampung dengan saya bang. Kebanggaan orang kampung tu. Maklumlah, tidak ramai orang kampung yang dapat belajar tinggi-tinggi. Daripada yang tidak ramai tu, dia dapat pula belajar di Oxford. Bangga la orang kampung. Hehe.

Saya ini, kira pesaing dia masa zaman sekolah rendah dahulu. Lepas sekolah rendah, saya sambung belajar di Kolej Melayu, dia pula meneruskan pembelajarannya di Kolej Tunku Khursiah. Semenjak dari hari itu saya tidak pernah berjumpa dia lagi. Tidak pernah hubungi pun. Cuma baru-baru ini, bila pulang ke kampung, emak dia datang ke rumah, pesan suruh hantarkan ikan bilis ni..

Begitulah kisanya

Tapi, kan bang, sudah beberapa kali saya cuba hubungi nombor Saodah ini, tapi tidak dapat.

Ohhhh…

Itulah lil.

Aku pun sebenarnya pelik dengan Saodah ini.

Dulu, masa awal-awal masuk ke sini, aku tengok di baik-baik sahaja.

Tetapi sejak kebelakangan ini, aku nampak dia semakin murung. Selalu duduk menyendiri di dalam perpustakaan seorang-seorang.

Entahlah lil. Abang cuba juga suruh bini abang tanya-tanyakan kepada rakan-rakan dia. Tapi itulah. Mereka kata ……

Hrmmm

Mereka kata apa bang?

Dia sudah menyertai sebuah …

Payah aku nak cerita dekat sini lil. Esok kau ikut aku ye.

Bersambung…

Seorang anak muda

Seorang anak muda meniti hidup.

Dalam titian yang tidak terduga olehnya akan besar cabaran yang sedang menimpa.

Saban hari, pelbagai jenis manusia yang beliau jumpai.

Benar-benar mencabar hati,

 

Saat jalan perkahwinan, tidak dijadikan mudah untuknya,

Dia sedar dia perlu bermujahadah lebih untuk menjaga kesucian dirinya.

Kerana dia sedar, hakikat dirinya hanyalah seorang manusia biasa.

10649929_302778266590795_6479193827327460189_n

 

 

Aku dah tepu dengan hidup !!!

stagnant-pond

Alhamdulillah, seminggu sudah saya boleh dikatakan hampir pulih daripada demam denggi. Terima kasih kepada Allah atas ujian yang menimpa, membuatkan kita sentiasa ingat pada kematian, dan menghargai betapa besarnya nikmat sihat. Suatu nikmat yang tiada tolak taranya besar dalam kehidupan seorang manusia. Jika kita sakit, banyak perkara dan kerja akan tertangguh.

وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. An Nahl: 18).

Sebenarnya, bila dikoreksi balik, seminggu sebelum sakit, saya hilang arah tuju dalam hidup. Saya rasa tepu, saya rasa stagnant, saya rasa seperti tidak berguna, saya rasa seperti air bertakung yang berkeladak yang menanti masa untuk membusuk. Saya rasa, saya tiada apa-apa perkembangan peribadi lagi. Saat rakan-rakan lain ramai yang sudah melangkah ke fasa seterusnya dan membina kehidupan baru. Saya masih kekal di takuk lama.

Hidup saya tidak bersemangat, hendak menunaikan ibadah juga malas. Al Quran sudah mulai leka untuk dibaca, qiam jarang-jarang sekali dapat lakukan. Dan sekali……….. bam!!! Allah datangkan ujian sakit. Sakit yang saya boleh rasakan betapa seksanya. Sakit yang menarik saya kembali kepada tujuan hidup saya yang sebenar.

Alhamdulillah, terima kasih ya Allah. 

Saat itu saya mula merasakan betapa bodohnya saya. Betapa saya tidak menghargai dan menggunakan peluang yang Allah swt telah berikan untuk beramal dengan sebaiknya. Saya tidak betul-betul sandarkan semangat saya kepada iman! Hanya berpada dengan semangat anak muda, yang kadang malap dan kadang menyala kembali.

Saya mereka-mereka perasaan tepu itu, kerana mahu meninggalkan amal dan kerja-kerja saya. Baik dari sudut amal dakwah, mahupun kontribusi saya kepada masyarakat.

Saat saya benar-benar hilang arah, Allah swt kurniakan insan-insan di sekeliling  yang menarik saya kembali agar sedar kepada tujuan hidup saya. 

Guru saya berpesan agar saya sentiasa koreksi niat, refresh kembali tujuan saya beramal, adakah kerana Allah swt dan Rasul, atau lebih mengharapkan ganjaran dunia dan isinya. Berupa wang dan pangkat. Tidak dinafikan dalam era fitnah materialisme yang hangat mengila ini kita mudah sahaja, akan cenderung mengikut hawa nafsu kita, jika kita tidak punya iman yang tebal, dan tarbiyah yang kuat.

Hati kita kotor. Banyak tompok-tompok hitam yang perlu kita bersihkan.

Guru saya juga turut berpesan, bila terasa tepu dan stagnant, ini cuba imbau kembali detik-detik awal kita join usrah, detik-detik awal kita bersemangat untuk tubuhkan syarikat, membuat kajian dan sebagainya? Refresh kembali saat kesusahan menimpa, atas tujuan apa kita buat semua perkara itu?

Bila terasa tepu, cuba cari keseronokan baru, explore lebih banyak benda baru. Perbaiki perkara lama, sibuk perbaiki diri kita, gariskan kelemahan-kelemahan kita, susun kembali prioriti hidup kita, penuhi kpi-kpi yang kita telah gariskan. Bila kita telah penuhi kpi-kpi kita, dan tugas-tugas yang kita gariskan kita akan rasa lebih bersemangat.

Soalnya sebelum ini kita lebih suka melompat-lompat, dari suatu perkara kepada perkara yang lain, tanpa menyelesaikan dulu tugasan yang lama. Akhirnya, hasil tidak kelihatan dan kita hanya terpesona dengan hasil bersifat sementara dan fatamorgana.

Begitulah, bila kita tepu.

Guru saya juga berpesan, agar kita kembali kepada Allah. Tambah bacaan Al Quran, jaga solat jamaah, jaga qiamulail, jangan terlepas berpuasa, jangan terlepas usrah, agar kita mampu membina kekuatan diri menghadapi godaan-godaan maksiat di luar sana, yang banyak mengotori hati dan akal kita.

Perkara terakhir yang guru saya pesan, bila terasa benar-benar tepu, pergilah merantau. Pergilah bercuti, pulang ke kampung halaman, ambil kembali semangat, kumpul balik semangat orang berjuang. Dan bila terasa kuat, dan ada inspirasi dan idea baru. Pulanglah semula ke bandar, dan berjuanglah kembali. Teruskan apa yang telah kita lakukan dengan semangat yang baru dan niat yang telah dikoreksi kembali.

Saya tutup tulisan pada kali ini dengan dua pesanan agar kita boleh ambil dan jadikan iktibar.

Sheikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid pernah mengungkapkan kata-kata ini dalam bukunya ‘Ar-Raqaiq’ (Pelembut hati):

“Kelesuan sesudah mujahadah (kesungguhan) timbul kerana adanya kerosakan pada langkah pertamanya.”

Puncanya menurut beliau ialah langkah pertama. 

Sesiapa yang tidak suci tajarrudnya pada awal-awal, maka binaan yang dibinanya akan terhoyong hayang meskipun kelihatan amat tinggi dan megah.

Kata kunci,  i) niat yang baik dan ii) himmah yang tinggi.

Abdullah bin Mubarak pernah menyebutkan : “Berapa banyak amal yang kecil tapi dibesarkan oleh niat dan berapa banyak amal yang banyak namun dikecilkan kerana niat.”

Begitu juga ungkapan tokoh tabi’in, Mutharrif bin Jalil Abdullah : “Baiknya amal tergantung kepada baiknya hati. Baiknya hati tergantung dengan baiknya niat. Siapa yang niatnya baik maka ia akan baik dan siapa yang niatnya bercampur dan kotor, maka ia menjadi kotor dan bercampur.”

Umar bin Alkhatthab r.a. berkata, “Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya sesuatu amal itu bergantung kepada niat. Penilaian Allah bagi setiap orang, ialah apa yang dia niatkan. Maka sesiapa berhijrah semata-mata kerana ta’at kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, maka hijrah itu diterima oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Sebaliknya sesiapa berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya bergantung kepada apa yang dia niatkan”

(Bukhari, Muslim)

Wallahualam.

p/s: “Bumi berputar, siang dan malam silih berganti, masa berlalu, alam berubah, bergeraklah anak muda, jika kita tidak bergerak kita akan menjadi seperti kolam yang bertakung dan berkeladak, dan lama-lama kita akan membusuk”

 

Siapa yang akan membayar kita?

computer-money-1000x664.jpg

Siapa yang akan membayar kita?

Tahun ini saya diberikan rezeki lebih oleh Allah swt,

Pendapatan bulanan jadi berkali ganda. Alhamdulillah, berkat bisnes kecil-kecilan syarikat buku yang sedang saya usahakan bersama rakan-rakan (kopipress).

Bila pendapatan bulanan meningkat, mulalah kita plan untuk upgrade diri macam-macam. Nak upgrade basikal barulah, nak melanconglah, nak makan me’nate selalulah, itulah inilah…

Hidup bujang, tiada tanggungan mulalah fikir macam-macam.

Minggu lepas, adalah minggu yang saya kira betul-betul menguji prioriti wang yang saya ada.

Saya ada pertandingan basikal di Jerantut minggu hadapan, pada masa yang sama saya juga ada program dakwah pada minggu ini. Walaupun dari segi masa tidak clash, kerana saya sudah susun, tetapi dari segi pengunaan wang? Di mana saya harus prioritikan?

Saya teringatkan ketika zaman saya pelajar universiti dulu, separuh ataupun suku duit biasiswa digunakan untuk program-program dakwah. Alhamdulillah, ketika itu perih jerih hanya Allah sahaja yang tahu, bila kita berusaha lebih, infaq duit, harta dan tenaga beserta strategi dan doa, dengan izin Allah, dakwah kita itu menjadi. 

Walaupun biasiswa hanya kecil. Tetapi serba cukup, tidak lah terlalu bermewah, tetapi tidaklah pula sampai berlapar. Air mata gembira mengalir ketika itu.

Sekarang, bila sudah bekerja bila sudah berduit, saya menyoal kembali diri saya, kenapa saya tidak boleh membuat pengorbanan yang sama? Adakah dakwah tidak menjadi prioriti terpenting dalam hidup saya? Ataupun dunia sudah mula memasuki hati saya, dan bukannya berada dalam gengaman saya?

Persoalan itu lantas membuka jawapan kepada kenapa, sudah dua tahun adik-adik usrah saya tidak berapa menjadi. Pertama mungkin saya tidak serius, kedua saya tidak cukup berkobran untuk dakwah ini. Baik dari sudut tenaga mahupun harta. Wang yang saya keluarkan pun berkira-kira dan ala kadar.

Memang, kita memang perlu menyimpan dan menabung. Untuk masa hadapan, untuk beli rumah, berkahwin dan sebagainya. Tetapi itu semua, tidaklah menjadikan kita berkira-kira untuk dakwah, dan membuatkan duit yang kita ada, dihabiskan untuk kesenangan peribadi kita sahaja dan bukannya orang lain. Kita kaya, tetapi dakwah miskin. Duit yang dilaburkan untuk upgrade kereta, rumah, dan barang-barang lain, lebih banyak daripada duit yang kita laburkan untuk dakwah. Kebanyakkan barang-barang itu bukannya keperluan pun, tetapi hanya penghias dan aksesori.

Bagaimana dakwah ini mampu berjaya?

Pastinya, kita tidak akan miskin jika kita melaburkan duit yang banyak untuk dakwah yang sedang kita tanggung ini. 

Allah pasti, pasti, pasti dan pasti! Akan memberikan kita rezeki yang lebih.

Percayalah Allah akan membeli pengorbanan kita. Allah akan membeli jual beli yang sedang kita laburkan ini.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka”. (At Taubáh: 111)

QS-At-Taubah-ayat-111

Walaupun pengorbanan ini hanya sekadar kecil cuma, jika hendak dibandingkan dengan para sahabat r.a 

Semoga Allah terima!

Wallahualam

Jemu dengan usrah?

photo_2016-02-17_23-52-10

Waktu malam-malam saya kini lebih lapang daripada biasa. Jika pada tahun-tahun lepas, ketika buku “sedang hangat di pasaran” jemputan tidak putus-putus untuk mengisi di universiti A, B, dan C. Di merata-rata tempat. Iya benar, mungkin ramai orang mengenali kita kerana berceramah sana-sini, tetapi saya lebih merasakan perkara itu bukan menjadi prioriti saya pada fasa ini.

Lalu saya mengambil keputusan untuk kurang menerima jemputan ceramah, di negeri-negeri luar Selangor, dan hanya menerima jemputan ceramah sekali sekala, atas alasan untuk kembali menyusun hidup dan prioriti. Iyalah, pagi kerja, malam pun ada kerja, urusan dakwah dan organisasi lagi, hari minggu program jadi saya harus betul-betul memfokuskan masa saya.

Antara fokus yang saya harus beri tumpuan lebih adalah membawa halaqah ataupun usrah itu sendiri. Jika dihitung-dihitung, sudah hampir 5 tahun saya membawa halaqah, dan ada antara adik usrah saya, yang sudah menjadi pimpinan badan dakwah di negara/kawasan masing-masing. Sudah mahu grad pun ada. Pelbagai suka duka, mahupun kisah sedih terduduk bagai kena reject pun ada. Tetapi itulah asam garam apabila bergaul dengan manusia ini. Ada yang menjadi ada yang tidak. Tetapi saya cuba menjaga hubungan sebaik mungkin dengan mereka.

Kenapa saya fokus kepada usrah? Kerana  usrah adalah medium paling terbaik untuk mengubah pemuda-pemuda ini. Dengan silibus, manhaj, wasilah yang tersusun, secara berdisiplin, kita mampu menjentik hati dan minda pemuda-pemuda ini dengan izin Allah swt untuk berubah. Kita bukan hanya sentuh pemuda-pemuda ini secara touch and go sahaja, tetapi touch dan follow up secara berterusan.

Alhamdulillah.

Semoga kita semua diberikan kekuatan oleh Allah swt untuk terus memperbaiki diri kita dan mengubah pemuda-pemuda di luar saya yang dahagakan sentuhan tarbiyah daripada kita. Apa salahnya kita korbankan sedikit waktu terluang dan masa lapang kita untuk mereka. Meski penat, Allah swt pasti akan membalasnya dengan ganjaran yang besar.

Guru saya berpesan, jika kita merasa lemah dan malas, merasa penat dan lesu, merasa jemu. Bayangkan motivasi ini, seorang lelaki yang mendapat hidayah daripada usaha kamu, adalah lebih baik daripada dunia dan isinya.

Adakalanya kita merasa terbeban, kerana jarak itu kadang-kadang bukannnya dekat. Mencecah sejam lebih juga pergi balik, dengan duit minyak lagi, dan sebagainya, tidak sama ketika saya berceramah dulu, satu malam sahaja kita dibayar 3 ke 4 ratus ringgit, dengan duit minyak disponsor. Populariti pun ada, buku pun senang dijual, tetapi, saya masih lagi merasakan kekosongan. Saya tidak merasa puas. Saya tidak dapat betul-betul membentuk manusia. Saya tidak dapat meninggalkan legasi dakwah atau pewaris dakwah yang boleh buatkan hati saya berasa puas dan berasa tenang.

Hendak merubah dunia, ini lah jalannya! Kita harus mengubah manusia dahulu!

Jadi usaha yang bersungguh-sungguh saya perlu tonjolkan untuk membentuk manusia. Semoga Allah swt pandang usaha ini, juga usaha rakan-rakan saya, walaupun dihimpit dengan masalah hidup, tetapi tidak sedikitpun menjadikan masalah itu tinggi dan dipandang besar, malahan hanya masalah kecil, dan masih lagi mampu membawa usrah setiap minggu.

Wallahualam

Saya tutup entri pada kali ini dengan ayat ini. Semoga menjadi pemangkin semangat kita untuk terus bersemangat membawa usrah.

Pergilah kamu beramai-ramai, samada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

(Al-Taubah [9] : 41)

Emosi pun perlu diurus?

Bringing_Emotion_to_B2B_Content_Marketing.jpg

Hari ini aku belajar sesuatu yang sangat berharga daripada guruku. Belajar bagaimana untuk menguruskan masalah dan meletakkan emosi di tepi.

Aku sedar, sepanjang tahun-tahun lepas perkembangan potensi aku banyak disekat oleh masalah-masalah kecil berupa emosi seperti ini.

Seharusnya, sebagai seorang manusia, kita kena bijak menguruskan masalah. Ok, murabbi aku tidak suka menggunakan perkataan masalah, tetapi sebaliknya cabaran. Kita kena bijak menguruskan cabaran yang datang. Aku ni jenis yang selagi tak selesai masalah tu, aku tak akan move on pada kerja lain. Kalau seminggu, seminggu lah aku akan bertahan memikirkan siang dan malam, kalau dua minggu dua minggu lah aku akan bergelumang.

Sebenarnya apa yang terbaik, jika cabaran itu datang menjelma, dan kita rasakan bukan masanya yang sesuai untuk kita selesaikan masalah itu. Just leave it. Kita buat kerja-kerja yang lain dahulu. Bila emosi kita dah stabil, baru kita datang dan buat kerja itu.

Benar, pengurusan emosi ini bukanlah satu benda yang mudah. Ianya perlukan latihan yang bertubi-tubi, istiqamah dan secara intensif! Aku harus melatih diri aku untuk bijak mengurus masalah yang datang.

Sekarang, kalau aku tidak bijak mengurus masalah yang datang, apa akan jadi pada diri aku 10-20 tahun akan datang. Bila masalah tiba sahaja,, mulalah aku tinggalkan, mulalah aku lari. Sedangkan bukan itu sikap yang sepatutnya kita perlakukan.

Sikap terbaik yang harus kita perlakukan adalah dengan bijak menguruskan masalah yang datang. Jangan terlalu fikir mendalam, sedangkan banyak lagi perkara-perkara besar yang harus kita selesaikan. Kita ini orang bujang. Masalah pun tak banyak mana. Masalah pun berlegar sekitar diri sendiri sahaja. Tak jauh mana. So, mulai sekarang, aku berazam untuk bijak menangani masalah yang menimpa diriku. 

Kata mahu jadi lelaki penyelamat dunia? Tak kan masalah remeh temeh buat kau terhegeh-hegeh? Bangkitlah!

Wallahualam

Adakah engkau redha dengan ketentuan Tuhan?

dreaming-future

Hari ini, usai pulang daripada solat isyak, mengambil kesempatan ringkas, di sebalik beranda menikmati angin malam. Terdetik di hati untuk membaca dan mentadabbur beberapa surah, iaitu surah Luqman dan juga surah Al Kahf.

Penghujung ayat surah Luqman yang bermaksud begini

“Sesungguhnya di sisi Allah ilmu tentang hari kiamat; dan Dia yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakan esok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi amat meliputi pengetahuanNya” (Luqman:34)

ini membuatkan saya terfikir dengan mendalam, apa sebenar-benarnya sikap yang harus kita tanggapi sebagai seorang muslim apabila memikirkan tentang masa hadapan. 

Iyalah, bila masuk umur begini banyak perkara yang kita semakin runsingkan, perihal jodoh, perihal kerja, perihal tanggungjawab dan bermacam-macam lagi perihal yang kita tidak dapat mengetahui dengan pasti. 

Jika kita membaca tafsir fi zilal Quran dalam Surah Al Kahf, kita akan lihat bagaimana Sayyid Qutb menghuraikan ayat-ayat Allah swt dengan cukup indah sekali.

Ayat-ayat itu bermaksud begini

“Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang engkau kehendaki); Aku tetap melaksanakannya besok “ (Al Kahf:23)

“Melainkan disertai dengan menyebut ‘Insya Allah’ dan kenangkan Tuhanmu jika engkau terlupa dan berdoa’lah: Semoga Allah memberi petunjuk kepadaku ke jalan yang lebih dekat dari ini” (Al Kahf: 24)

Membuat saya kembali terfikir betapa besarnya mukjizat Al Quran itu.

Kata beliau

“Setiap gerak dan setiap diam, malah setiap nafas dari nafas-nafas yang hidup adalah tergantung kepada iradat Allah. Tabir ghaib yang dilabuhkan itu adalah melindungi segala sesuatu di sebalik detik yang wujud sekarang ini, dan mata manusia juga tidak dapat menjangkau di sebalik tabir yang dilabuhkan itu dan ia tetap lemah biar pun bagaimana banyak ilmunya. 

Oleh itu janganlah ia berkata, “Aku tetap akan melaksanakannya besok”, kerana hari esok adalah dari urusan ghaib Allah dan tabir urusan ghaib Allah melindungkan akibat-akibat sesuatu.

Arahan ini bukanlah bertujuan supaya seseorang itu duduk mendiamkan diri sahaja tanpa memikir dan merancangkan masa depannya dan supaya dia hidup di atas asas sehari demi sehari atau untuk sesaatu demi sesaat sahaja atau supaya dia jangan menyambungkan masa hidupnya yang silam dengan masa hidupnya sekarang dan masa hidupnya yang mendatang.

Tidak sekali-kali begitu, tetapi tujuannya yang sebenar ialah supaya dia turut membuat perhitungan kepada perkara ghaib dan mengambil kira kehendak iradat Allah yang mentadbirkannya, juga supaya dia berpegang teguh kepada keputusan yang telah diazamkannya dan memohon pertolongan kepada masyi’ah (kehendak) Allah untuk menjayakan apa yang telah diazamkannya itu serta menyedari bahawa kuasa Allah mengatasi kuasanya.

Oleh kerana itu jangalah dia merasa mustahil bahawa tadbir Allah berlainan dengan perancangannya. Andainya dia berjaya melaksanakan apa yang telah diazamkan, (maka hendaklah dia bersyukur) andainya masyi’ah Allah berlainan dari apa yang dirancangkannya, maka janganlah dia bersedih dan berputus asa, kerana seluruh urusan itu di bawah kuasa Allah awal dan akhir.

Seseorang itu harus berfikir dan merancang, tetapi dia harus sedar bahawa dia hanya boleh berfikir dan merancangkan (dengan betul) dengan pertolongan dan taufiq dari Allah, dan dia tidak berupaya berfikir dan merancang melainkan dengan daya-daya berfikir dan merancang yang dikurniakan Allah kepadanya. 

Sikap ini tidak akan membawa seseorang kepada kemalasan, kelengahan dan kelemahan-kelemahan, malah sebaliknya ia membekalkannya dengan keyakinan, kekuatan, ketenteraman dan keazaman yang kukuh. 

Oleh itu apabila tersingkapnya tabir ghaib yang menunjukkan bahawa tadbir Allah itu berlainan dari perancangannya, maka hendaklah dia menerima keputusan Allah itu dengan penuh keredhaan, ketenangan dan penyerahan diri, kerana itulah keputusan asal yang tidak diketahui olehnya dan baru sekarang disingkapkan tabirnya.

Inilah methodologi Islam yang menguasai hati seorang Muslim, oleh kerana itu dia tidak merasa keseorangan dan kesepian apabila dia berfikir dan merancang, tidak merasa angkuh dan sombong apabila dia berjaya dan tidak merasa putus asa apabila dia gagal, malah dia tetap berhubung dengan Allah dalam segala keadaan, tetap bergantung kepada Nya, bersyukur kepada taufik Nya dan tetap menerima qadha’ dan qadar Nya tanpa angkuh dan tanpa putus asa.

“Dan kenangkan Tuhanmu jika engkau terlupa. Dan berdoalah: Semoga Allah memberi petunjuk kepadaku kepada jalan yang lebih dekat dari ini” (Al Kahf: 24)

Begitulah serba sedikit kupasan beserta tadabbur ayat yang sempat untuk saya tulis dan catat buat renungan kita bersama.

Semoga kita semua beroleh manfaat, dan kini lebih jelas dalam menilai setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan kita. Semuanya adalah termasuk dalam perancangan Allah swt yang Maha Berkuasa.

Saya tutup post kali ini dengan satu doa yang diajar oleh guru saya yang juga anda boleh bacanya dalam buku saya Semalam Ada Pelangi

12417958_939151326122876_5745671845091781306_n

Wallahualam

Di manakah dakwah dalam kehidupan kita?

info (9)

Hari ini saya mengemas rumah, bila mengemas itu terjumpalah barang-barang lama.

Cuma kali ini sedikit nostalgia. Terjumpa buku-buku lama yang pernah saya gunakan, dan pernah saya pelajari ketika zaman awal mengikuti dakwah dan tarbiyah ini.

Direnung-renung kembali buku-buku lama itu, lantas membuatkan saya berfikir sendiri. Di kedudukan keberapa aku letakkan urusan dan perihal dakwah ini dalam hidupku? Di kedudukan pertama? Ke dua? Ke tiga? Atau sekadar untuk mengisi masa lapang? Atau juga sekadar kerja picis-picisan, bukan diletakkan sebagai agenda dan prioriti utama dalam hidup?

Perlahan-lahan saya letak buku itu, dan cuba untuk mengkoreksi diri.

Hrmmm…

Sejauh mana aku telah prioritikan dakwah dalam kehidupan seharianku?

Apabila meningkat usia, tanggungjawab menjadi semakin banyak, ada yang semakin sibuk dengan kerja, semakin sibuk dengan keluarga, semakin sibuk dengan bisnes.. 

Adakah kita masih lagi meletakkan urusan dakwah ini sebagai perkara yang paling prioriti dalam hidup kita?

Atau kita masih lagi bermalas-malasan, dan mengharapkan ada orang lain yang akan membuat kerja membanting tulang bersungguh-sungguh ikhlas berjuang dalam jalan dakwah ini?

Seharusnya semakin lama kita mengikuti dakwah dan tarbiyah ini, semangat kita bukannya semakin lesu dan menghilang, tetapi semakin faham dan membara. Lesu dan jemu tiada dalam kamus hidup kita, kerana apa yang diharapkan hanya redha daripada Allah swt semata.

Tegarkah kita membuat kerja acuh tidak acuh, sedangkan “platform” atau asas yang kita ingin bina ini bukan calang-calang sukarnya. Musuh siang dan malam bekerja keras untuk meruntuhkan Islam, kita pula masih lagi diulit selesa dan sambil lewa dalam bekerja.

Tiada disiplin, tiada kesungguhan, tiada komitmen, acuh tidak acuh. Tenaga untuk dakwah ini hanya sisa-sisa kudrat yang kita lampirkan setelah penat mengaut keuntungan untuk diri peribadi sahaja.

Kita semakin berkira untuk menginfakkan waktu untuk dakwah, kita semakin berkira untuk menginfakkan kepakaran untuk dakwah, kita semakin berkira untuk menginfakkan harta untuk dakwah. Kita sudah mulai berkira. Saat kita merasakan kita sudah memberi banyak untuk dakwah.

Sudah tiba saatnya untuk kita sama-sama saling mengingati. Aku, engkau kita semua. Saat kita dihadapkan dengan dua permasalahan, iaitu permasalahan diri dan juga permasalahan ummat, permasalahan mana yang akan menjadi prioriti terpenting hidup kita? Yang menjadi tumpuan utama hidup kita.

Sebab itu Imam Hassan Al Banna menasihati kita agar meringkaskan urusan peribadi kita dan memudahkannya kerana beliau berpesan kewajipan yang harus dilaksanakan oleh seorang pendakwah itu lebih banyak daripada waktu yang beliau ada.

Semoga kita semua dapat meletakkan urusan dakwah sebagai urusan yang paling prioriti dalam hidup kita.

Kerana terlalu besar ganjarannya di hari muka kelak.

Wallahualam

“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?”

“(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,”

“Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam surga Adn. Itulah keberuntungan yang besar.” (As-Soff : 10-12)